Jangan lupa saksikan drama terbaru Bisik Asmara yang akan mula bersiaran pada 21 Januari 2026 pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam menerusi slot Samarinda di TV3.
Juga turut disiarkan menerusi platform penstriman iQIYI sejurus selepas habis tayangan di tv. Boleh menggunakan laman web di https://www.iq.com/ atau aplikasi mobile. Tonton secara percuma.
Drama 20 episod yang bakal menggantikan Susuk Rupawan ini merupakan arahan Jamal Khan, nukilan skrip daripada Rozie Rashid bersama Zakinah Ab Zarith dengan terbitan produksi Saphire Screen Sdn. Bhd.
Episod : 20
Tayangan : Slot Samarinda TV3
Tarikh : Mulai 21 Januari 2026 (Isnin – Khamis)
Masa : 10.00 PM
Penulis Skrip : Rozie Rashid, Zakinah Ab Zarith
Produksi : Saphire Screen Sdn. Bhd.

OST Drama
Lagu : Rayu Hatiku
Penyanyi : Adira Suhaimi
Komposer : Affan Mazlan
Penulis Lirik : Affan Mazlan
Barisan Pelakon & Watak
Drama Bisik Asmara menampilkan tiga gandingan popular iaitu Zul Ariffin, Sophia Albarakbah dan Uqasha Senrose. Selain itu terdapat juga lakonan daripada Nadia Brian, Nafiz Muaz, Ruminah Sidek dan ramai lagi.
- Zul Ariffin sebagai Farhan
- Sophia Albarakbah sebagai Sheila
- Uqasha Senrose sebagai Noreen
- Nadia Brian sebagai Aida
- Nafiz Muaz sebagai Amirul
- Ruminah Sidek sebagai Umi
Sinopsis Drama Bisik Asmara
Drama Bisik Asmara mengisahkan tentang Noreen, seorang wanita berdikari dan berkerjaya yang kelihatan memiliki kehidupan sempurna di mata orang sekeliling.
Namun di sebalik kejayaan dan rutin hidup yang tersusun, Noreen sebenarnya bergelut dengan kesunyian yang perlahan-lahan menekan jiwanya tanpa disedari sesiapa.
Rutin hidup Noreen mula berubah apabila Farhan, rakan sekerjanya yang berdepan masalah tempat tinggal, berpindah menyewa di kawasan berhampiran.
Farhan pula menjalani perkahwinan jarak jauh bersama isterinya, Sheila, yang memilih untuk tinggal di kampung demi menjaga ibunya, Umi, yang uzur dan menghidap demensia.
Terperangkap antara tanggungjawab sebagai suami dan keperluan emosi diri, Farhan semakin rapat dengan Noreen, bukan sekadar sebagai jiran malah sebagai tempat berkongsi rasa.
Hubungan yang bermula dengan keprihatinan dan sokongan perlahan-lahan berubah menjadi pergantungan emosi yang melampaui batas.
Hari demi hari, keakraban mereka semakin mendalam walaupun kedua-duanya sedar akan garis sempadan yang sepatutnya dijaga.
Hubungan yang pada awalnya tampak tidak bersalah akhirnya bertukar menjadi konflik emosi, obsesi dan pengkhianatan perasaan yang menguji nilai kesetiaan, kejujuran dan moral.
Dalam masa yang sama, Sheila yang banyak berkorban demi keluarga mula merasakan perubahan pada suaminya.
Naluri seorang isteri membangkitkan rasa curiga bahawa ada sesuatu yang tidak kena, seterusnya mencetuskan konflik yang kian memuncak dan memaksa mereka berdepan pilihan sukar yang bakal mengubah kehidupan semua pihak.





